Pengenalan MyPusaka

Pusaka KUDS Sdn Bhd. merupakan sebuah firma runding perancang harta dan urus pusaka yang berpangkalan di Bandar Sri Sendayan, Seremban Negeri Sembilan.

Antara skop perkhidmatan kami adalah menyebarkan kefahaman yang tepat tentang isu Pusaka kepada masyarakat.

Dari apa yang kami lihat, ramai di kalangan masyarakat di Malaysia baik yang beragama Islam atau yang bukan islam, masih kurang jelas tentang Perancangan Harta dan Pengurusan Pusaka.

Untuk membantu menambahkan kefahaman masyarakat tentang isu Pusaka, kami telah pun melancarkan portal www.mypusaka.info yang mana ianya mengandungi perkara-perkara dan ilmu berkenaan Pusaka yang mudah difahami.

Selain dari itu, kami juga memberi taklimat tentang Pusaka kepada syarikat korporat, badan-badan Kerajaan, kooperasi, persatuan, kejiranan, dan sekolah.

Wednesday, September 6, 2017

Perkongsian Ilmu Khamis vol. 5 : Penamaan di akaun KWSP


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Baru baru ini ada seorang sahabat bercerita dengan saya, dia baru semak maklumat di akaun KWSP milknya dan baru sedar bahawa penama akaun tersebut masih lagi di bawah nama arwah emaknya yang sudah 5 tahun meninggal dunia. Nasib baik sahabat tersebut semak dan tukar sementara masih sempat, takut nanti menyusahkan waris untuk menguruskan pengeluaran duit daripada akaun KWSP.
Jadi bagaimana nak buat penamaan di akaun KWSP?

Sebelum kita ke proses penamaan, saya akan terangkan siapa penama dan kenapa penting untuk buat penama.

Penamaan selalunya dibuat dengan melantik waris terdekat yang dipercayai untuk menguruskan pengeluaran duit daripada akaun ahli selepas kematian. Sekiranya penamaan tidak dibuat oleh pemilik akaun, ia akan melambatkan proses pengeluaran dan memerlukan masa yang lama untuk membuat proses seterusnya.

Ketika kita melantik penama, kita perlu memastikan penama tersebut mampu bertanggungjawab dan faham tugasnya untuk mengeluarkan dan mengagihkan simpanan KWSP si mati kepada waris waris yang berhak mengikut persetujuan.

Siapa yang boleh dilantik sebagai penama?

  •           Waris terdekat ( suami, isteri, anak-anak, saudara terdekat )
  •          Penama perlulah dilantik sebagai individu dan bukannya organisasi, syarikat atau ‘trustee’
  •          Pemilik akaun boleh meletakkan waris yang berumur di bawah 18 tahun sebagai penama, walaubagaimanapun penamaan tersebut akan terbatal sekiranya pemilik akaun meninggal dunia sebelum penama tersebut

Proses penamaan di akaun KWSP

Untuk membuat penamaan, pemilik akaun hanya perlu menghantar (1) Satu salinan MyKad/Passport penama dan (2)  Borang KWSP 4 yang telah diisi dengan lengkap kepada mana mana cawangan pejabat KWSP. Penamaan ini perlu dibuat semasa pemilik akaun masih hidup.

Proses semakan penama di akaun KWSP

Sekiranya anda tidak pasti dan ingin menyemak penama akaun KWSP anda, anda boleh membuat semakan melalui i-Akaun KWSP anda ATAU pergi ke mana mana cawangan pejabat KWSP untuk membuat semakan.

Proses kemas kini penama di akaun KWSP

Sekiranya anda ingin mengemaskini penama akaun KWSP milik anda, anda boleh mengambil borang KWSP 4 dari kaunter KWSP dan mengemaskini maklumat penama baru yang ingin dilantik.

Boleh ke penamaan ini terbatal?

Ya, penamaan untuk akaun KWSP boleh terbatal dengan beberapa syarat,

  •           Semua penama telah meninggal dunia
  •           Pemilik akaun telah mengemukakan borang pembatalan penamaan ( Borang KWSP 4A ) semasa hayatnya
  •           Pemilik akaun telah membuat penamaan baru
  •           Penama yang dilantik belum mencapai umur 18 tahun ketika tarikh kematian pemilik akaun
  •          Penama yang dilantik tidak mengeluarkan duit daripada akaun KWSP dalam masa 1 tahun dari tarikh kematian

Sebenarnya proses penamaan ini mudah sahaja, tapi ada yang tak ambik endah atau tak sedar bawah penama yang dilantik untuk akaun mereka sudah tidak sah. Jadi sebelum terlambat, kita perlu segera membuat semakan siapa yang dilantik untuk menguruskan akaun KWSP kita selepas kita meninggal dunia.

Itu baru masuk cerita akaun KWSP, belum lagi akaun yang lain lain. Sebab itu semasa kita masih dipinjamkan nyawa untuk bernafas di dunia ini kita perlu segera merancang bagaimana pengurusan harta kita selepas kita tiada nanti.


Kalau anda inginkan khidmat kaunseling atau nasihat daripada kami berkaitan pengurusan harta dan pusaka, boleh hubungi kami di talian yang tertera.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh hubungi KWSP 


Anda ada persoalan atau kemusykilan mengenai pengurusan harta dan pusaka? 
Hubungi kami di : 

Facebook : facebook/mypusaka
Whatsapp : 010 513 7053 
Website : www.mypusaka.info

Atau, buat tempahan untuk Klinik MyPusaka di 

Wednesday, August 23, 2017

Perkongsian Ilmu Khamis vol.4 : Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa



' Dulu emak dah cakap rumah ni nak kasi pada saya' 
' Eh, mak tak pernah cakap kat adik beradik lain pun? ' 

Pernah dengar dialog seperti di atas? Rata rata berlaku apabila si mati tidak meninggalkan arahan yang jelas dan lengkap kepada waris.

Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa.

'' saya takda harta pun, kenapa nak buat wasiat? ''

- Memastikan kebajikan waris waris terjamin 

Rata rata yang bekerja samada sebagai penjawat awam atau swasta pasti mempunyai akaun perbankan sekurang-kuranya satu, akaun KWSP , dan bagi yang beragama Islam mempunyai akaun Tabung Haji. Sekiranya kita meninggal dunia, semua akaun ini akan terbeku dan waris tidak boleh mengeluarkan wang dari akaun tersebut tanpa surat kuasa. Sekiranya tiada penama bagi akaun tersebut, waris perlu pergi ke Mahkamah Tinggi untuk permohonan surat kuasa.

Selalunya proses untuk mendapatkan surat kuasa akan menganbil masa sekurang kurangnya 6 bulan dan mungkin akan menjadi lebih lama sekiranya tidak mengikut proses yang betul. Bagaimana pula dengan nasib waris kita dalam tempoh satu tahun pertama itu? Sekiranya isteri yang ditinggalkan adalah suri rumah sepenuh masa dan hanya berharap pada gaji si suami. Selepas kematian suami perlukah si isteri pergi meminjam dari sanak saudara kerana duit peninggalan suami telah terbeku dalam bank?

Dengan adanya hasrat yang bertulis, bertarikh dan bersaksi, semua waris maklum dan ada wasi          ( pentadbir ) yang akan memulakan proses. Proses untuk mengeluarkan wang simpanan daripada semua akaun si mati juga akan menjadi mudah dan cepat. Keluarga yang ditinggalkan juga tidak perlu risau bagaimana untuk teruskan hidup selepas ketiadaan ketua keluarga mereka.

'' mak saya dah cakap kat adik beradik pasal pembahagian harta ni masa di hidup ''

- Memastikan waris maklum dan faham tentang hasrat yang ditinggalkan 

Masyarakat kita telah terbiasa dengan meninggalkan pesanan secara lisan dan berharap agar waris dapat mematuhi dan menghormati hasrat tersebut. Walaubagaimanapun, pesanan tersebut berkemungkinan akan menjadi topik pergaduhan bila ada di antara waris yang tidak bersetuju dengan pembahagian harta. Ini telah terbukti dengan berita berita di akhbar tentang adik beradik bergaduh disebabkan harta, emak ditinggalkan anak kerana tidak puas hati dan lain lain kisah masyarakat yang menyayat hati. Dan sekiranya pembahagian harta telah dilakukan, siapa pula yang akan menyelesaikan hutang hutang kita? Dan siapa pula antara waris kita yang akan memanfaatkan harta peninggalan tersebut untuk kebajikan dan saham akhirat kita?

Jadi, objektif utama dalam penyediaan wasiat adalah untuk memastikan hasrat kita telah dimaklumkan kepada semua waris dan dibahagikan dengan adil. Bukan sahaja untuk kesejahteraan waris tetapi juga untuk kesejahteraan kita kelak kerana dalam wasiat juga kita boleh meninggalkan pesan agar hutang hutang kita dibayar dan supaya sebahagian daripada harta itu dimanfaatkan untuk saham akhirat.

Berbalik kepada strategi untuk memastikan pusaka terurus, kami di MyPusaka sentiasa menekankan supaya umat Islam di luar sana memulakan proses wasiat yang bertulis, bertarikh dan bersaksi. 
Masyarakat kita sudah terlalu terbiasa dengan meninggalkan pesanan lisan dan tiada bukti bertulis yang sah dan boleh digunakan. Sudah tiba masa untuk kita biasakan yang betul dan betulkan yang biasa.

Kami di MyPusaka sentiasa berusaha untuk memastikan agar pusaka anda terancang dan terurus, dengan menyediakan khidmat Dokumen Pewarisan Lengkap. Apa yang kami tawarkan? 

1. Anda boleh melantik 2 orang wasi daripada ahli keluarga atau waris terdekat
2. Wasiat kepada bukan waris atau untuk tujuan sedekah
3. Pesanan pembahagian harta kepada waris
4. Surat permakluman dan arahan kepada wasi
5. Panduan pengurusan harta
6. Khidmat kaunseling PERCUMA kepada waris
7. Khidmat penyimpanan dokumen secara elektronik

Anda ada persoalan atau kemusykilan mengenai pengurusan harta dan pusaka? 
Hubungi kami di : 

Facebook : facebook/mypusaka
Whatsapp : 010 513 7053 
Website : www.mypusaka.info

Atau, buat tempahan untuk Klinik MyPusaka di 

Tuesday, August 15, 2017

Perkongsian Ilmu Khamis vol.3 : Kenapa perlu lantik Wasi?



Salah faham yang sering berlaku di kalangan masyarakat kita adalah apabila seseorang itu dinamakan sebagai wasi kepada harta, maka dia mempunyai hak ke atas harta tersebut. Pada dasarnya, wasi hanya seseorang yang diberi kuasa dan tanggungjawab oleh pewasiat untuk memulakan pengurusan harta dan pusaka selepas kematian beliau.  

Siapakah yang layak menjadi wasi?

  • Waris kepada pewasiat yang telah cukup umur dan waras akal
  • Sebaik-baiknya wasi dilantik di kalangan kaum keluarga terdekat atau kenalan rapat yang boleh menguruskan semua perkara yang berkaitan dengan pewarisan harta dan pusaka si mati.


Apakah tugas sebagai wasi?

  •  Wasi diberi kuasa untuk mengumpul segala maklumat mengenai harta pewasiat dan  menyenaraikannya untuk perbincangan antara waris
  •  Sekiranya si mati meninggalkan hutang yang banyak maka wasi bertanggungjawab untuk  menjelaskan hutang hutang tersebut
  • Wasi juga bertanggungjawab untuk membahagikan harta pusaka kepada waris yang lain  selepas selesai urusan pengurusan jenazah dan pembayaran hutang


Apa beza Wasi dan Penama?

Wasi mempunyai tanggungjawab untuk memulakan proses pengumpulan harta dan kemudian membahagikan harta tersebut kepada waris yang lain, manakala penama mempunyai kuasa untuk mengeluarkan wang pampasan/simpanan daripada akaun perbankan si mati. Wang tersebut kemudiannya perlu diserahkan kepada wasi untuk urusan pengurusan jenazah, penyelesaian hutang dan seterusnya pembahagian.

Pelantikan penama boleh dibuat di akaun perbankan seperti, KWSP dan Tabung Haji. Dinasihatkan untuk meletakkan penama di kalangan ahli keluarga terdekat yang cukup umur, waras akal dan dipercayai supaya memudahkan urusan sekiranya berlaku kematian.

Secara asasnya, wasi tidak mempunyai sebarang kuasa ke atas harta pewasiat tetapi wasi bertanggungjawab untuk memulakan proses pembahagian harta dan pusaka pewasiat dengan amanah dan adil.

Sekiranya seseorang itu merancang pengurusan harta pusaka di bawah MyPusaka, maka beliau boleh melantik seramai 2 orang wasi. Surat makluman kepada wasi akan disediakan supaya wasi yang dilantik maklum dan faham akan tugas mereka.

Kenapa perlu lantik Wasi? 

Pelantikan wasi adalah bertujuan untuk memastikan pengurusan harta dan pusaka dapat dimulakan secepat mungkin selepas kematian. Oleh kerana tugas wasi merangkumi pengurusan jenazah dan penyelesaian hutang maka pewasiat boleh menarik nafas lega bahawa urusan yang ditinggalkan di dunia telah diuruskan dengan sempurna. 

Sekiranya tiada wasi dilantik semasa pewasiat hidup maka dikhuatiri akan mengakibatkan pembahagian harta yang tidak teratur dan mungkin akan menjadi perbalahan antara waris. Akhirnya, pengurusan pusaka akan menjadi tertangguh dan tidak dapat diuruskan.

Anda ada persoalan atau kemusykilan mengenai pengurusan harta dan pusaka? 
Hubungi kami di : 

Facebook : facebook/mypusaka
Whatsapp : 010 513 7053 
Website : www.mypusaka.info

Atau, buat tempahan untuk Klinik MyPusaka di 



Perkongsian Ilmu Khamis vol.2 : Apakah hutang yang perlu diselesaikan oleh waris selepas kematian salah seorang ahli keluarganya

SOALAN : APAKAH HUTANG YANG PERLU DISELESAIKAN OLEH WARIS SELEPAS KEMATIAN SALAH SEORANG AHLI KELUARGANYA?



Jawapan :


Sekiranya berlaku kematian di dalam sesebuah keluarga , adalah menjadi kewajipan bagi waris untuk menyelesaikan segala hutang yang ditinggalkan oleh si mati. Sebelum kita teruskan dengan topik hari ini , saya akan terangkan terlebih dahulu mengenai apa itu hutang dan kenapa pentingnya kita menjelaskan hutang si mati.


Sabda Rasulullah: “Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah pada hari hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi.”


Daripada hadis di atas, telah jelas dinyatakan apa akibatnya sekiranya kita meninggal dunia tanpa sempat menjelaskan hutang.Jesteru pentingnya untuk merancang dan mengurus harta kita supaya waris tahu apa hutang yang perlu diselesaikan sekiranya kita meninggal dunia. Hutang yang ditinggalkan adalah perkara wajib yang perlu ditunaikan sebelum wasiat simati boleh ditunaikan dan setelah disempurnakan urusan pengkebumiannya. Terdapat dua kategori hutang iaitu hutang kepada manusia dan hutang kepada Allah.


Dalam pengurusan hutang, waris perlu mendahulukan hutang kepada Allah seperti mana yang dinyatakan dalam mazhab al-Syafi’I berdalilkan pada hadis


Dari Ibn Abbas radhiyallahu ‘anhumaa :Datang seseorang pada Nabi saw dan berkata : Wahai Rasulullah (saw), Sungguh ibuku wafat dan ia mempunyai hutang puasa satu bulan, apakah aku membayarnya untuknya?, sabda Rasulullah saw : “Betul, dan Hutang pada Allah (swt) lebih berhak untuk ditunaikan”(Shahih Bukhari)


Antara hutang Allah yang dimaksudkan adalah zakat, kifarat, nazar, haji dan fidyah. Semua perkara ini adalah wajib dilakukan oleh semua umat islam yang mampu dan perlu ditunaikan oleh waris sekiranya si mati tidak sempat untuk melakukannya.Seterusnya bagi hutang manusia pula, saya akan terangkan dalam dua kategori iaitu hutang yang kita nampak secara kasar dan hutang yang sering kita terlepas pandang. Bagi hutang yang kita nampak secara kasar, ia termasuk hutang rumah, bank loan, loan kereta dan pelbagai urusan lain yang akan dimaklumkan secara bulanan. Sekiranya si mati ada hutang tertunggak pihak bank selalunya akan menelefon rumah atau tempat kerja. Lebih teruk lagi si penjamin juga akan menjadi mangsa kerana dihantui oleh panggilan telefon dari pihak bank. Jadi selalunya hutang ini akan diselesaikan oleh waris selepas beberapa tempoh yang lama.


Seterusnya, hutang yang selalunya kita terlepas pandang adalah seperti baki tertunggak telco, baki tertunggak kad kredit , hutang dengan PTPTN atau hutang dengan adik beradik atau rakan terdekat. Secara mudahnya, hatta hutang sebanyak RM 1.00 sekiranya si pemberi hutang tidak menghalalkan hutang tersebut dan merdhakannya untuk si mati, roh si mati tersebut akan terus terseksa.


Betul,ada pelbagai cara untuk hutang tersebut dijelaskan tetapi persoalannya mampukan waris untuk menyelesaikan hutang si mati dan adakah waris redha kerana perlu menyelesaikan hutang dengan duit mereka sendiri. Dan berapa lama pula proses untuk menyelesaikan hutang tersebut? Adakah roh si mati akan terus tersiksa sekiranya hutang tersebut dibiarkan tanpa diuruskan?


Disebabkan itu, saya selalu menegaskan betapa pentingnya perancangan harta dan pusaka agar waris yang ditinggalkan mempunyai arahan jelas dan dana yang cukup untuk menjelaskan hutang. Ingat, mati boleh datang bila bila masa dan persoalannya adakah kita sudah bersedia?


Wallahualam,Aida MyPusaka


Rujukan :
Pengurusan dan Pembahagian Harta Pusaka oleh Wan Abdul Halim Wan Harun (2016)


Anda ada persoalan atau kemusykilan mengenai pengurusan harta dan pusaka? 
Hubungi kami di : 

Facebook : facebook/mypusaka
Whatsapp : 010 513 7053 

Atau, buat tempahan untuk Klinik MyPusaka di 

Perkongsian Ilmu Khamis Vol.1 : Boleh ke saya guna duit si mati dengan tujuan menguruskan jenazah beliau?

SOALAN : BOLEH KE SAYA GUNA DUIT SI MATI DENGAN TUJUAN MENGURUSKAN JENAZAH BELIAU?




Jawapan :

Selepas kematian seseorang, waris si mati bertanggungjawab untuk menyelesaikan urusan pengebumian jenazah, hutang si mati dan menunaikan wasiat yang ditinggalkan si mati. Dalam pengurusan jenazah, hanya urusan yang wajib sahaja yang boleh diuruskan dengan harta peninggalan si mati. Antaranya, pembelian peralatan kapan, upah memandikan mayat, upah menggali kubur, upah van jenazah dan sebagainya. Walaubagaimanapun, sekiranya waris ingin memberi ‘duit kopi’ kepada orang yang bersembahyang jenazah atau lain tidak boleh mengeluarkan duit daripada duit peninggalan arwah. Hal ini kerana perkara tersebut tidak tertakluk dalam urusan wajib pengurusan jenazah maka waris harus mengeluarkan duit mereka sendiri.

Begitu juga dengan kenduri arwah atau tahlil yang diadakan oleh waris. Sekiranya ada waris yang ingin menggunakan duit peninggalan arwah, waris tersebut harus mendapat persetujuan semua waris yang lain dengan syarat tiada waris yang belum cukup umur atau tidak waras. Sekiranya ada seorang waris membantah untuk mengadakan kenduri tahlil maka waris yang lain harus mengeluarkan duit mereka sendiri untuk tujuan tahlil tersebut. Harus difahami bahawa kenduri tahlil atau arwah bukanlah satu perkara wajib yang harus dilakukan selepas kematian tetapi ia merupakan adat yang sering dilakukan masyarakat kita. Pada pendapat saya, tidak salah untuk membuat kenduri tahlil kerana niatnya sudah baik, untuk mendoakan si mati. Tetapi sekiranya perbelanjaan kenduri tersebut menjadi bebanan untuk waris maka tidak menjadi keperluan untuk kenduri arwah, cukuplah kita sebagai waris mendoakan si mati.

Yang penting dalam tugas sebagai seorang waris adalah untuk segera melangsaikan segala hutang yang ditinggalkan dan menunaikan wasiat (jika ada) seperti yang dihasratkan oleh si mati.

Wallahualam,
Aida MyPusaka

Rujukan :

Pengurusan dan Pembahagian Harta Pusaka oleh Wan Abdul Halim Wan Harun (2016)


Anda ada persoalan atau kemusykilan mengenai pengurusan harta dan pusaka? 
Hubungi kami di : 

Facebook : facebook/mypusaka
Whatsapp : 010 513 7053 
Website : www.mypusaka.info

Atau, buat tempahan untuk Klinik MyPusaka di